Page 2 of 6

EkSMA16 Hari Ke-13

Hari ini, 25 Jan 2016, mengikut jadual, kami akan meninggalkan stesen King Sejong untuk ke stesen berikutnya. Itu adalah perancangan yang telah dipersetujui bagi melengkapkan kajian saintis-saintis yang mengikut ekspedisi kali ini. Tujuannya adalah bagi mendapatkan hasil eksperimen untuk dikongsi bersama semua ahli pengkaji khususnya dan amnya kepada seluruh dunia. Sebagai contoh, kajian variasi arus bawah tanah yang saya jalankan di bumi Antartik ini merupakan kajian pertama seumpamanya diadakan di kawasan polar sama ada di Antartik mahupun di Artik. Sebelum ini idea seumpamanya tidak pernah terfikir oleh penyelidik sedangkan arus bawah tanah ini sangat penting dan berkait rapat dengan aruhan magnet terutama di kutub utara atau selatan.

Pada pemerhatian saya, semua saintis yang mengikuti ekspedisi ini sedang sibuk menjalankan proses pengambilan sampel, memastikan semua sampel yang diambil berkualiti dan mengikut spesifikasi eksperiman. Sifat teliti setiap saintis sangat menakjubkan kerana sebahagian dari mereka terpaksa mengambil sampel lebih dari bilangan yang diperlukan. Ini merupakan sifat biasa para ilmuan yang sangat teliti dengan tindakan mereka bagi memastikan hasil yang didapati dan yang akan dikongsikan kepada seluruh dunia itu tepat dan betul mengikut metodologi yang diperakui kebenarannya. Sebagai ketua ekspedisi saya rasa amat berbangga dengan komitmen yang diberikan dan ada diantara mereka sangat ringan tulang menghulurkan bantuan kepada ahli yang lain walaupun tanpa diminta.

Saya sendiri mendapat bantuan dari Dr Rauhan, Dr Shahrul  dan Hilal, mereka membantu memikul peralatan saya yang banyak dan berat ke bangunan yang telah dikenalpasti. Saya memulakan kerja-kerja pemasangan peralatan kajian. Dr Rauhan, Dr Emie, Hilal and Aniqah juga sedang menyiapkan peralatan untuk aktiviti persampelan. Dr Goh dan Dr Foong tiada di bangunan bersama kami. Saya kira mereka juga sedang bersedia untuk menjalankan aktiviti persampelan sebaik saja ribut reda nanti.

Kira-kira jam 2 petang, ribut mula reda. Kami semua terus memulakan kajian masing-masing. Dr Rauhan sibuk mengambil sampel tanah dan tumbuhan dari dalam air menggunakan penyodok khas. Dr Emie, beliau menggunakan baldi untuk mengambil sampel air di permukaan laut daripada jeti untuk dianalisa. Untuk satu-satu set kajian, beliau perlu mengambil sehingga 47 baldi sampel air laut!! Sungguh cekal. Kajian Hilal dan Aniqah agak sama. Mereka mengambil sampel tanah dan tumbuhan tertentu untuk dianalisa. Dr Foong juga turut mengambil sampel tanah dan tumbuhan tetapi untuk aspek analisa yang agak berbeza. Dr Goh pula, seorang ahli Geologists Profesional, beliau mengambil sampel batu yang tertentu untuk dianalisa. Begitulah pelbagai aspek kajian yang kami lakukan di sini. Hasilnya nanti insyaAllah akan diterbitkan untuk dikongsi bersama dengan seluruh rakyat Malaysia dan seantero dunia. Itu hasrat kami. Dr Shahrul tidak perlu menjalankan kajian di sini kerana peralatan kajian beliau dipasang di atas bot. Biasanya semasa kami berehat semasa pelayaran, Dr Shahrul adalah orang yang paling sibuk untuk memastikan peralatannya berfungsi dengan baik.

Saya amat berharap agar semua rakan seperjuangan dapat memastikan matlamat ekspedisi ini tercapai. Walaubagaimanapun, isu keselamatan adalah aspek yang sangat penting dan perlu dititikberatkan sepanjang menjalankan eksperimen. Keselamatan diri sendiri, rakan-rakan dan semua peralatan yang dibawa serta keindahan suasana di Antartik yang indah dan menenangkan mata memandang ini. Saya sentiasa mengingatkan semua ahli agar semua kemajuan gerak kerja perlu direkod dengan baik untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.

 

12633602_1056602001057650_1918498053715411542_o

 

12615245_1056602047724312_4388627946684426052_o

Penguin di Stesen King Sejong

Kira kira jam 7 petang, kapal layar Australis tiba di perairan stesen King Sejong. Kami berhubung melalui radio dan meminta Kapten dan Mag Ben untuk turun  ke daratan. Kami berbincang untuk ke beberapa lokasi seterusnya sebagaimana yang dirancang, perbincangan ini diharap agar semua stesen kajian yang signifikan dapat dilawati dalam tempoh masa kira-kira 7 hari sebelum kami kembali semula ke stesen King Sejong iaitu selewat-lewatnya 2 Feb 2016. Bagi saya setakat ini, perancangan kami sedikit terganggu semasa percubaan pertama merentasi Drake Passage kerana laluan ini agak mencabar dan perlu mengambil kira kelajuan angin yang tidak menentu.

Keputusan yang diambil untuk terus ke Deception Island terlebih dahulu yang terletak kira kira 4 jam perjalanan dari stesen King Sejong diutamakan bagi mengatasi cabaran kesuntukan masa ini. Destinasi berikutnya adalah ke stesen paling jauh yang boleh kapal kami tiba sebelum berpatah balik dan singgah di beberapa stesen yang signifikan semasa dalam perjalanan pulang ke stesen King Sejong. Analisa cuaca untuk 4 hari yang akan datang yang ditunjukkan oleh Ben adalah baik dan kami yakin usaha ini boleh membatu mengurangkan cabaran kepada kesuntukan masa yang ada. Ini memerlukan perancangan yang teliti dan tahap kepimpinan yang tinggi untuk merancang dan mengatur semula perancangan yang terkesan akibat perubahan masa yang tidak mengikut perancangan asal setelah menghadapi cabaran Drake Passage.

Kira-kira jam 8 malam, semua ahli bergerak menuju ke kapal Australis meninggalkan stesen King Sejong untuk meneruskan perjalanan, terutama bagi saintis yang masih memerlukan beberapa sampel dari beberapa lokasi dan stesen lain. Perjalan perlu diteruskan dan kerja yang belum selesai perlu dihabiskan Semoga perjalanan 7 hari mendatang akan membuahkan hasil yang terbaik untuk dituai dan dikongsi bersama rakyat Malaysia, InshaAllah.

Teruskan mengikuti penerokaan saintis Malaysia meneroka khazanah Antartika dari masa ke masa!

 

Di Persimpangan Dilema

Pada 24 Januari 2016 iaitu hari pertama kami di sini, di stesen King Sejong salji turun beserta ribut yang agak kuat. Tanah di dataran sekitar memutih dipenuhi salji.

Kajian saya di bumi Antartik ini adalah untuk mengkaji variasi elektromagnetik sekitar (ambient electromagnetic) yang berkait dengan variasi matahari. Selain itu, saya turut membawa peralatan untuk mengkaji variasi arus bawah tanah yang berkait dengan variasi matahari. Untuk mengkaji arus bawah tanah, saya memerlukan keadaan tanah yang kering dan stabil. Buat masa ini, dengan keadaan tanah yang dipenuhi salji, saya tidak dapat menjalankan ujikaji tersebut.

Kajian ini juga turut memerlukan kemudahaan internet melalui kabel Local Area Network (LAN) untuk pemantauan secara jarak jauh (remote monitoring) dari makmal saya Applied Electromagnetic Research Group di UiTM oleh pelajar-pelajar saya yang sedia menunggu. Ini membolehkan peralatan kajian ini dapat dipantau walaupun dengan ketiaadaan saya.

Saya menemui ketua stesen, Dr Choi untuk memohon kemudahan internet, Dr Choi telah memanggil jurutera network untuk menyediakan kemudahan jaringan internet melalui LAN. Setelah mencuba untuk membuat sambungan, dan berpindah ke bangunan lain, kemudahan LAN masih tidak dapat disediakan. Ini bermakna saya perlu sentiasa memantau peralatan saya secara manual. Tetapi saya perlu berada bersama ahli kumpulan saya ke stesen berikutnya nanti.

Saya berfikir, dengan keadaan masa yang sangat suntuk sebelum kami ke stesen berikut esoknya, agak mustahil untuk saya melengkapkan kajian ini. Saya berbelah bagi samaada perlu meneruskan perjalanan dengan meninggalkan kajian ini terbengkalai di sini, atau tinggal tetap di sini menghabiskan kajian tanpa mengikut rakan ekspedisi yang lain ke stesen berikutnya. Saya berfikir dan merenung jauh sambil memerhatikan iceberg yang terapung di teluk di hadapan stesen King Sejong ini..jalan manakah yang perlu saya pilih..mungkin esok saya ada jalannya InshaAllah..

Teruskan mengikuti penerokaan saintis malaysia menjelajah bumi Antartik dari masa ke masa!

Selamat Tiba di Antartik

Setelah beberapa hari berada dalam pelayaran, mengharungi  ombak berserta ribut di Drake Passage yang amat mencabar, kami akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke stesen pertama; Stesen King Sejong. Alhamdulillah, syukur kepada ilahi yang  telah memelihara pelayaran kami untuk sampai ke bumi Antartik ini.

12605561_1055179131199937_8684213475848703902_o

Kami tiba di Stesen King Sejong pada pukul 12.30 malam waktu Antartika. Namun begitu, kami hanya dibenarkan ke daratan pada jam 9 pagi waktu Antartika bersamaan 8 malam waktu Malaysia.

12440435_1055239634527220_8802343712703061344_o 12622011_1055239711193879_4059522269313193929_o

Saya bertemu dengan ketua di Stesen King Sejong, Dr Choi, bagi menyampaikan cenderahati daripada Universiti Teknologi MARA, UiTM.

12633523_1055178564533327_4155540268205557494_o

Sajian makanan yang dihidangkan kepada kami oleh Stesen King Sejong

 703762_1055179204533263_2686278862405607445_o 12525330_1055179404533243_2141740352821614123_o

12604722_1055179324533251_7335913166534683680_o

 Bendera negara Malaysia berkibar sebaris bendera negara-negara lain.

10562631_1055178301200020_9174765522778424616_o 12604777_1055178381200012_4792448624035994082_o 12615266_1055178247866692_9067845749420859008_o 12640467_1055178094533374_5739417429496786071_o

Kewajipan solat tetap ditunaikan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Cubaan ke Dua Memasuki Drake Passage

Hari ini 21 Jan 2016. Sekarang jam menunjukkan pukul 5:00 pagi. Sekarang kami berada di Port Toro, Chile, 25 batu ke arah selatan Port William. Kami berlabuh di sini malam tadi sambil menunggu keadaan cuaca yang mengizinkan untuk membuat cubaan kedua memasuki Drake Passage. Jika ramalan cuaca kelajuan angin di Drake Passage adalah di bawah 30 knot, kapten Mag akan memulakan pelayaran kira-kira jam 6:30 pagi nanti. InshaAllah.

Kali ini semua peserta ekspedisi kelihatan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran Drake Passage. Kami bangun awal pagi untuk menyelesaikan semua urusan di bilik air/tandas, bersarapan, memastikan peralatan dalam keadaan stabil, semua tingkap dikunci, dan menyusun keperluan peribadi supaya mudah diambil atau dicapai semasa keadaan kapal yang tidak stabil kelak. Laluan ke Antartik melalui Drake Passage akan mengambil masa kira-kira tiga hari dari sini InshaAllah. Kami akan terus mengemaskini status harian kami selagi terdaya InshaAllah. Mohon terus mendoakan keselamatan dan kemudahan pelayaran kami ke Antartik.Amin

Teruskan mengikuti pelayaran saintis Malaysia meneroka khazanah Antartik dari masa ke masa!

EkSMA16 Hari ke-8

Assalamualaikum buat keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang saya rindui..Alhamdulillah Allah masih mengurniakan saya kesihatan yang baik untuk meneruskan ekspedisi ini dan berupaya menyampaikan khabar berita untuk pengetahuan semua rakyat Malaysia.

12486060_1052815714769612_7360140178803016903_o

Oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan semalam, krew ocean expedition yang lebih berpengalaman membuat keputusan untuk kami berpatah balik dan berlabuh di  Pulau Gable, Argentina atas faktor keselamatan. Tetapi sekiranya kami berlabuh di Pulau Gable kami tidak dibenarkan ke daratan. Jadi, Kapten Mag membuat keputusan untuk berlabuh di Pelabuhan William, Chile kerana kami perlu ke daratan untuk beberapa urusan.

12622398_1052815601436290_1774775545590281957_o 12604689_1052819801435870_8176609960996513706_o

                                    (Gambar di pelabuhan William)

Tiupan angin yang direkodkan semalam berkelajuan 40-50 knot bersamaan 80-100 km sejam. Kadar tiupan angin ini agak merbahaya bagi kami untuk meneruskan pelayaran, maka kami akan menunggu tiupan angin mencapai 25knot bersamaan 46 km sejam untuk melalui Drake Passage. Sekarang, kami berada di Port William sementara menunggu ribut reda.

Perancangan perjalanan kami hari ini ialah, kami akan belayar ke pulau Cape Horn kira-kira 25 batu dari Chile. Diharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan semoga perjalanan ekspedisi ini dapat berjalan dengan lancar.

Teruskan mengikuti perjalanan saintis Malaysia meneroka khazanah Antartika!

EkSMA16 Hari ke-7

Assalamualaikum buat ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang saya cintai. Ketika ini saya sedang menggunakan perkhidmatan satellite daripada kapal Australis untuk menghantar khabar berita tentang pelayaran  kami.

Semalam kami bertolak kira-kira jam 12 tengah hari, 11 malam waktu Malaysia. Cuaca dan ombak agak tenang kira-kira 50-60 batu pertama di Terusan Ushuaia. Namun selepas itu, ombak mula bertambah kuat dengan ribut dan angin kencang. Kami perlu melepasi terusan ini dahulu sebelum melalui Drake Passage. Cuaca ribut melebihi weather forecast. Keadaan cuaca dan ribut di Drake Passage adalah lebih kuat berbanding dengan keadaan di terusan ini kerana ianya adalah laut lepas. Kapten kapal, Mag tidak mahu mengambil risiko meneruskan pelayaran maka membuat keputusan untuk berpatah balik setelah kami berlayar kira-kira 60 batu, masa pelayaran kira-kira lebih 15 jam. Kami akan berlabuh untuk beberapa hari sebelum keadaan ribut kembali tenang di Gable Island, Argentina.

Kebanyakan ahli pasukan mengalami mabuk laut yang agak teruk tetapi, semua kelihatan masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran demi meneroka ilmu untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Kami juga perlu kuat kerana kami percaya, perjalanan kami ini diiringi oleh doa ibu, ayah, suami, isteri, keluarga, rakan sekerja dan seluruh rakyat Malaysia.

Dr Shahrul seakan-akan tidak mengalami mabuk laut. Beliaulah yg membantu ahli-ahli ekspedisi yang lain. Beliau tolong mengambilkan makanan, menyediakan air panas, membasuh pinggan mangkuk dan sekali sekala menyanyi untuk menghiburkan suasana yang suram ketika ini,walaupun nyanyiannya tidaklah sehebat Jamal Abdillah, tapi bolehlah sekadar untuk penyedap halwa telinga buat masa ini. Saya tiada hasrat untuk mendengar lagu nyayiannya apabila tiba di Malaysia kelak,senyum…

Keadaan saya pula, Alhamdulillah walaupun agak pening-pening sedikit, tetapi saya gagahkan juga untuk menghantar coretan buat tatapan semua. Kami menunaikan solat maghrib, isyak dan subuh dalam keadaan duduk sambil memegang pemegang keselamatan, ada juga yang berbaring sahaja kerana ombak terlalu kuat dan keadaan kesihatan yang tidak stabil. Namun kewajipan solat tidak akan kami tinggalkan demi keberkatan ilmu yang dicari.

Selain itu, malam tadi juga, terdapat dua tingkap tidak tertutup rapat, menyebabkan air masuk ke ruang tidur kami. Tilam saya basah dan alat GPS saya mengalami rosak. Ada beberapa peralatan saintifik Dr Shahrul juga mengalami kerosakan disebabkan goncangan yang kuat. Kami akan cuba untuk memperbaiki peralatan tersebut sebelum kami belayar semula ke Antartik, InshaAllah.

Kami juga akan terus berusaha untuk memastikan perkembangan terkini kami semasa pelayaran sampai ke pengetahuan rakyat Malaysia.

Coretan ini ditulis dengan perasaan sebak kerana cabaran yang kami hadapi di kala ini. Kami mohon kalian semua mendoakan  kelancaran ekspedisi kami, InshaAllah.

Kepada Ma, abah dan adik-adik, along sayang kalian. Terutama sekali untuk isteri tercinta Haslinda Husni, kasih abang buat sayang dan Shafiyya tidak bertepian, seluas Laut Selatan (Southern Ocean) yang sedang abang layari sekarang ini.

10604675_1052213894829794_2046118122629421228_o

                                        (Gambar di atas kapal layar bersama crew)

12485808_1052213864829797_977071483808725921_o

(Sila klik pautan ini untuk mengetahui kedudukan kapal layar kami –> yacht Australis)

Di sini juga saya ada mengambil video untuk tontonan rakyat Malaysia bagaimana keadaan kami di atas kapal layar. Sila klik pautan ini —>Pelayaran EkSMA 16
Wassalam

Huzaimy
Australis, Southern Ocean
on board with 8 Malaysian Scientists and 4 crews
7:57 AM LT

Teruskan mengikuti cerita-cerita menarik ekspedisi Saintis Malaysia meneroka khazanah Antartika dari masa ke masa!

EkSMA16 Hari ke-6

 18 Jan 2016 / 8 Rabiul Akhir 1437H.

Hari ini, seperti dalam perancangan, kami akan memulakan pelayaran menaiki kapal layar Australis. Kelihatan semua saintis amat bersemangat untuk memulakan pagi mereka pada hari ini. Aniqah Zulfa sudah turun ke lobi hotel sejak jam 6:00 pagi lagi untuk melakukan kerja-kerja akhir menyusun barang.

12473751_1051512034899980_1541468675871546316_o 12484675_1051512094899974_6792270429355310768_o

(Kami sedang menikmati minum pagi sebelum bertolak ke pengkalan)

Pada jam 7 pagi, semua ahli ekspedisi sudah mula turun untuk mengambil sarapan yang telah disediakan. Seterusnya, pada pukul 8:40 pagi kami sudah tiba di pengkalan kapal layar.

12513606_1051511728233344_3494114103178521692_o (1) 12484829_1051511791566671_2964597259182921086_o 12489244_1051511908233326_8639333587327551270_o 12493993_1051511954899988_6755412172491284128_o

(Kerja-kerja pemindahan bagasi dan alat-alat eksperimen sedang dijalankan)

Kami bekerjasama memindahkan bagasi keperluan peralatan dan peribadi ke dalam kapal dengan bantuan krew-krew kapal layar; Ben, Mag, Bob dan Ana. Ana, adalah krew yg ditugaskan untuk memasak di sepanjang pelayaran.

12491851_1051548721562978_9069192188639135082_o

(Ana sedang bersiap untuk hidangan tengah hari)

12615202_1051548741562976_4335578413786296429_o

(Bob sedang menutup semua lubang dan tingkap untuk mengelakkan angin kuat masuk ke kabin)

12491977_1051555334895650_7952959047508913858_o

(Kapten Mag sedang memastikan peralatan eksperimen dalam keadaan terbaik bagi menghadapi cuaca yang mencabar)

Dr Shahrul, Dr Foong dan Dr Emie sudah mula mengutip sampel untuk kajian kerana Ushuaia merupakan stesen rujukan bagi kajian mereka. Kira-kira jam 11 pagi, kami diberi taklimat dan dimaklumkan keadaan angin dan ombak di drake passage agak kuat. Krew kapal perlu membuat persiapan tambahan untuk menghadapi cuaca yg dijangkakan agak mencabar seperti menyusun semula bagasi peralatan, menutup semua lubang angin dan tingkap, dan beberapa persiapan lain. Kami akan melalui terusan Ushuaia sejauh 80 batu yang mana akan memakan masa selama 10 jam sebelum ke laut lepas melalui Drake Passage.

dpg

Drake passage diberi nama sempena navigator Inggeris Sir Francis Drake. Seperti di dalam gambar, ia merupakan laluan air yang sempit antara Amerika Selatan dan Antartika. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai tempat penghubung antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

12485855_1051555418228975_3007755531721358016_o

                                          (Di luar pejabat kastam dan imigresen)

Sementara persiapan tambahan dibuat, kami dibawa oleh krew kapal ke imigresen untuk mendapatkan kebenaran keluar dari Argentina melalui jalan laut dan membuat pengisytiharan barangan yg dibawa. Sekarang ini jam menunjukkan pukul 1 tenghari, dan kami dijangkakan akan meninggalkan jeti pada jam 3 petang (18 Jan) bersamaan pukul 2 pagi (19 Jan) waktu Malaysia. Maka di sinilah cabaran sebenar bermula. Bagaimana kami mengharungi drake passage dan menghadapi mabuk laut di awal pelayaran.

Teruskan mengikuti perkembangan saintis Malaysia meneroka khazanah Antartika dari masa ke masa!

Page 2 of 6

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén