Australis bergerak dari Enterprise Island lebih kurang jam 3 pagi semalam (31 Jan).

DSC_0818 DSC_0912 DSC_0931

(Aktiviti di Enterprise Island)

Pada jam 10 pagi, kami tiba di stesen terakhir persampelan iaitu Trinity Island. Memandangkan bot bergerak awal pagi dan keadaan laut yang bergelora, kami semua hanya berada di katil masing-masing dan paksa diri untuk tidur sepanjang perjalanan bagi mengelakkan dari mabuk. Setelah bot tiba di stesen, barulah kami bersarapan.

Pada jam 11 pagi, Zodiac telah bersedia untuk membawa kami ke pantai.

DSC_0025 DSC_0011Stesen ini sangat menarik kerana terdapat satu pondok usang yang bumbungnya dicat dengan bendera Argentina. Menurut Magnus, pondok ini merupakan tempat hentian kecemasan untuk kegunaan awam. Namun, beliau sendiri, atau pun mana-mana kru Australis tidak pernah masuk ke pondok tersebut.

DSC_0027 P1410339

Stesen ini juga terdapat satu koloni Gentoo Penguin yang ramai. Dari atas bot lagi kami sudah menghidu bau najis haiwan ini dek kerana angin yang bertiup dari daratan terus ke bot.

DSC_0031

Kami menjalankan persampelan seperti biasa dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk menyiapkannya.

DSC_0008 DSC_0005 DSC_0003

Selepas itu, bila balik semula ke Australis, kebanyakan kami mandi kerana telah ditimpa hujan semasa persampelan. Selepas setengah jam, kru menjemput kami semua untuk makan tengah hari.

Kira-kira jam 3 petang, Australis menyambung pelayaran. Kami semua menyambung kerja masing-masing dan ada juga yang berehat sambil berborak-borak dengan kru Australis. Sekarang kami dah mula rasa agak sedih sebab hari-hari kami di Australis sudah menghampiri penghujungnya. Selepas lebih sejam, masing-masing sudah merasa mabuk memandangkan gelora yang agak kuat. Kami semua sekali lagi memaksa diri untuk tidur.

Pada jam 10:30 malam, Australis berhenti berlabuh di Whaling Bay, Deception Island. Menurut Ben, pantai ini merupakan kawasan penangkapan ikan paus. Industri penangkapan mamalia ini berjalan rancak sekitar tahun 1930-an dan berakhir 15 tahun selepas itu bila semua paus telah pupus.

Kami menikmati makan malam yang agak lewat. Setelah kenyang, kami bercerita kembali detik-detik awal perjalanan kami ke sini, dan juga perancangan kami selepas ini.

Kami diberitahu Australis akan menyambung pelayaran pada jam 6 pagi ini dan dijangka tiba di stesen King Sejong setelah 8 jam pelayaran.

Memandangkan telah tidur lama, kami semua berjaga lewat malam sambil menunggu masuk waktu subuh pada jam 2:30 pagi.

Di saat ini, suasana agak sunyi. Semua kru kapal telah tidur. Hanya suara kami yang kedengaran. Sekali sekala kedengaran bunyi ais melanggar badan Australis yang memecah kesunyian dinihari.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-