Kami mula bersarapan jam 8 pagi. Semakin hari semakin ramai yang makan Nasi Brahim’s atau mee Maggi. Nampaknya kami semua sudah muak dengan roti dan ‘cereal’ yang disediakan.

Pada jam 9 pagi, Zodiac mula diturunkan untuk membawa saintis yang perlu ke pantai Paradise Bay, Davis Coast.

DSC_0806

Dr Goh dan Dr Foong dibawa oleh Bob ke pantai untuk mengutip moss dan juga batu. Kemudian Bob kembali dan mengambil Dr Emi, Hilal dan Aniqah dan menghantar mereka ke pantai bagi mengutip sampel alga dan sedimen.

DSC_0764 DSC_0762

Selepas itu, Dr Shahrul juga ke pantai bagi menjalankan pengukuran isoprena dalam udara. Sementara itu, Ben membantu Dr Rauhan mengutip sampel invertebrata dari Australis. Memandangkan sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan sampel invertebrata di pantai, Ben telah mereka bentuk alat yang bertundak seperti ‘dredge’ untuk mengutip organisma tersebut dari kawasan yang lebih dalam iaitu di tengah air. Hasilnya sangat efektif. Bagi meningkatkan keberkesanan kaedah yang baru ini, Ben mencadangkan ianya dibuat secara menunda dari atas Zodiac. Dengan kaedah baharu ini, pelbagai spesies invertebrata berjaya dikutip dan disimpan untuk proses seterusnya di stesen King Sejong.

DSC_0774 DSC_0783

DSC_0804

Setelah lebih dua jam menjalankan persampelan, kami semua kembali ke Zodiac. Sesampai di sini, kami semua yang kesejukan sangat teruja melihat pinggan, pisau dan garfu telah tersusun di atas meja makan. Lebih kurang jam 12 tgh hari, kami bersama-sama kru menikmati hidangan pizza yang disediakan oleh Anna. Walaupun pizza vegetarian, namun ternyata ia lebih sedap berbanding yang terdapat di Pizza Hut. Setelah menjamu selera, kami semua menyambung kerja masing-masing dan ada juga selepas itu yang mengambil peluang untuk menonton filem. Pada jam 1:30 petang, kapten Magnus menyambung pelayaran ke stesen seterusnya. Beliau menasihati kami semua untuk bersedia dengan keadaan ombak yang dijangka agak besar. Mendengar peringatan tersebut, ada di kalangan kami yang ‘memaksa’ diri untuk tidur bagi mengelakkan daripada mabuk laut.

Jam 7:00 malam kami tiba di stesen berikutnya iaitu Enterprise Island, juga di Davis Coast. Sesampai di sini, kami terus bersiap dan bergerak untuk menjalankan kerja seperti di stesen sebelumnya. Stesen ini agak menarik kerana terdapat beberapa kapal karam lama yang kelihatan. Ada satu kapal besar iaitu ‘whaling ship’ sangat menarik perhatian kami. Kapal ini sudah berpuluh tahun terdampar di sini. Atas faktor keselamatan, Ben tidak mencadangkan kami untuk naik ke atas kapal lama ini. Selain itu, dapat dilihat 2 buah perahu layar kayu yang sangat usang dan hampir hancur juga terdampar di sini. Terdapat juga satu kubur dengan lambang salib yang kelihatan di atas bukit berhampiran kapal ‘whaling ship’ tadi.

Setelah lebih kurang 2 jam menjalankan kerja, kami semua kembali ke Australis. Sekali lagi, kepulangan kami ke Australis disambut dengan hidangan yang telah tersedia untuk dinikmati. Makan malam kali ini agak istimewa kerana ia disediakan oleh Kapten Mag sendiri iaitu Nasi dengan kari hijau udang dan ikan Cod. Kami sangat berterima kasih dengan kru Australis kerana mereka amat memahami kami. Selain daripada menyediakan daging halal, mereka juga selalu masak nasi untuk kami sama ada pada tengah hari atau malam demi menyesuaikan dengan selera orang Malaysia. Selepas kenyang makan nasi, kami menikmati pula pusing tiramisu yang disediakan oleh Anna.

Setalah makan malam, kami bersembang-sembang dan bercerita tentang apa yang dijalankan pada hari ini. Juga berbincang tentang perancangan hari esok, yang merupakan stesen terakhir kami. Selepas itu, seperti biasa Dr Emi dan Hilal naik semula ke dek untuk menyambung semula kerja mereka untuk proses persampelan air. Pada jam 12 tgh malam, masing-masing mula kepenatan dan masuk tidur. Ketika ini, Hilal masih menjalankan kerja beliau. Oleh kerana semakin kesejukan, Ben mambantu beliau membawa peralatan untuk menjalankan kerja di dalam kabin. Hilal memaklumkan beliau memerlukan lebih kurang 2 jam lagi untuk menyiapkan kerja penapisan air ini.

Selamat malam.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-