Kapten Mag mula menghidupkan generator bot pada jam 7:30 pagi dan kami mula menyiapkan sarapan pagi. Menunya sudah tentu roti bakar dan keju atau dengan lepa kacang.

Pada jam 9 pagi, Australis menaikkan sauh dan mula belayar ke stesen seterusnya. Cuaca pada hari ini agak mendung, namun pelayaran agak selesa kerana gelora lautan tidak begitu kuat.

Lebih kurang jam 10:15 pagi, kami tiba di stesen yang dituju iaitu Danco Coast. Dalam masa 15 minit, kami semua siap sedia untuk menaiki Zodiac dan bergerak ke pantai. Cuaca masih kurang baik dengan hujan membasahi kami semua. Suhu juga agak sejuk berbanding semalam di Darboux Island.DSC_0306 DSC_0309 DSC_0311

(Aktiviti di Pulau Darboux)

Dalam keadaan cuaca ini, Bob yang memandu Zodiac cuba mencari tempat paling sesuai untuk mendarat. Pantai Danco adalah jenis berbatu dan ini menyukarkan untuk Zodiac berhenti. Setelah meninjau beberapa minit, kami menjumpai kawasan sesuai untuk mendarat.

Setelah naik ke darat, kami terpaksa memanjat bukit untuk merentasi ke sebelah lain pantai ini. Menurut Ben, di sana mungkin ada kawasan pantai berpasir yang sesuai untuk kami menjalankan persampelan.

DSC_0581

Setelah 30 minit, kami akhirnya menjumpai kawasan untuk menjalankan persampelan. Walaupun agak kepenatan merentasi litupan salji yang dalam, ianya sangat berbaloi lebih-lebih lagi di sini kami dapat menyaksikan keindahan bukit di Sekeliling kami yang dilitupi salji. Sekali sekala kami dapat rasakan seperti berada di alam fantasi. Kehadiran dan pendakian kami juga ditemani oleh berpuluh-puluh kawanan Gentoo penguin dan juga beberapa ekor burung Skua dan Shag.

DSC_0606

Kami juga sangat berterima kasih kepada Ben yang menunjuk jalan kepada kami untuk menjejakkan kaki ke pantai walaupun keadaan sangat bahaya dengan cerunam ais yang mungkin boleh runtuh bila-bila masa sahaja.

DSC_0407 DSC_0392 DSC_0412 DSC_0365

Ben juga membantu Dr Rauhan, Hilal dan Aniqah untuk mendapatkan sampel sedimen di dalam air.

Setelah lebih kurang 1.5 jam di kawasan tersebut, dan selesai semua kerja persampelan. Kami mula berjalan menuruni bukit untuk ke pantai di sebelah satu lagi di mana kami mendarat. Kelihatan dari jauh Bob sedang menunggu kami di dalam Zodiac. Sekali lagi kami mengerah keringat untuk merentasi litupan salji yang dalam untuk sampai ke tepi pantai. Sekali sekala kaki kami tenggelam hingga ke paras paha bila menuruni bukit tersebut. Pada waktu itu, kami hanya berfikir untuk cepat-cepat masuk ke dalam Australis kerana kaki kami semua sudah kebasahan dek kerana salji sudah memasuki kasut but yang kami pakai. Terlalu sejuk sehinggakan rasa seperti terdapat api di kaki kami.

Pada jam 12:30 tengah hari. Kami menjejakkan kaki ke atas dek Australis. Masing-masing menarik nafas lega dan bergegas ke dalam kabin bot untuk menghangatkan badan.

Pada jam 1 ptg, kami semua menjamu hidangan tengah hari iaitu, telur Omelette dengan salad kentang dan sayur. Kemudian kami menikmati kek buah yang dibeli dari Ushuaia sebagai pencuci mulut.

Jam 3:30 petang Australia menaikkan sauh dan belayar ke stesen seterusnya iaitu Davis Coast. Mag memaklumkan kami dijangka tiba pada jam 9 malam. Australis akan melabuhkan sauh di situ, dan kami akan menyambung kerja persampelan esok pagi.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-