Jam 7 pagi, kami mula menikmati sarapan pagi. Kebanyakan kami hanya makan roti dengan jem atau Nutella atau dengan keju. Namun ada yang mula mengeluarkan bekal nasi Brahim’s yang dibawa dari Malaysia lantaran muak makan roti setiap pagi.

Keadaan laut pagi ini sangat tenang. Kami dapat menjalankan kerja dengan selesa. Sekali sekala Australis terpaksa memperlahankan kelajuan di sebabkan terlalu banyak ais terapung yang terdapat di laluan.

Kira-kira jam 11 pagi, Australis berhenti di sekitar Graham Coast. Ben memaklumkan kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke selatan lagi di sebabkan terlalu banyak ais dan mustahil untuk Australis merentasinya. Setelah berbincang, kami semua setuju untuk berpatah balik ke arah utara dan berebut di pantai terdekat. Namun, sebelum bergerak, Australis berhenti seketika bagi memberi peluang kepada peserta mengambil sampel air dan menjalankan analisis ringkas di atas dek kapal. Jam 2:15 petang Australia mula bergerak.DSC_0289 DSC_0110 DSC_0100

45 minit selepas itu, Australis tiba di Darboux Island (masih dalam kawasan Graham Loubet). Kami semua menaiki Zodiac untuk ke pantai. Persekitaran pulau ini agak berbeza berbanding pulau-pulau yang kami singgah sebelum ini. Pantainya berbatu, dan sangat hampir dengan kaki bukit. Keadaan di pantai Darboux ini juga sangat sunyi. Tiada penguin kelihatan. Hanya bunyi suara burung Snow Petrel yang memecah kesunyian seolah-olah menyambut kedatangan kami bila menghampiri pantai. Cuaca juga sangat baik. Cerah dan tidak berangin.

DSC_0033

Kawasan pantai ini juga kaya dengan sumber biologi yang dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Di kawasan pantai berbatu, dapat dilihat lapisan alga (diatom) yang tebal. Hidupan dasar seperti Amphipoda dan Limpet juga banyak kelihatan. Di kawasan daratan dan kawasan bukit, Mosses juga jelas kelihatan.

Kami mengambil masa kira-kira 2 jam untuk menjalankan persampelan. Setelah itu, kami kembali ke Australis dan rata-rata mula menikmati nasi Brahim’s bagi mengalas perut sementara menunggu hidangan makan malam.

Kemudian Australis meneruskan pelayaran dan tiba berhampiran stesen milik Ukraine (Verdardski) untuk melabuhkan sauh pada jam 8:30 malam. Kru Australis mengambil masa yang agak lama untuk melabuhkan sauh disebabkan keadaan laut yang dipenuhi ais terapung.

Pada jam 9:15 malam kami mula menikmati makan malam secara bersama dengan kru. Hidangan kali ini adalah Cauliflower & Prawn Gratin dengan nasi kuning. Lebih kurang jam 11 malam, kami semua mula masuk kabin untuk tidur.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-