Hari ini, jam 6 pagi kami tiba Greenwich Island, iaitu stesen kedua persampelan kami. Pada jam 7 pagi semua ahli ekspedisi mula bersiap dan menikmati sarapan. Pada jam 8 pagi kami mengadakan sedikit perbincangan ringkas bersama Ben untuk menyusun pergerakan ke pantai bagi aktiviti persampelan. Pada jam 8:30 pagi, kami mula menaiki Zodiac (bot getah) untuk ke pantai. Cuaca pada hari ini sangat baik. Tidak berangin. Namun agak sejuk berbanding semalam semasa di stesen King Sejong (walau pun semalam sangat berangin).

DSC_0011DSC_0025

(Zodiac atau bot getah yang kami naiki)

Apabila menjejakkan kaki ke pantai Yankee Harbour, Greenwich Island, kami semua kagum dengan keindahan alam ciptaan Ilahi. Sekeliling kami adalah salji yang memutih di atas permukaan pantai, dan juga di atas bukit. Kedatangan kami disambut oleh beratus-ratus penguin (Gentoo penguin). Terdapat juga 2 atau 3 ekor Chinstrap penguin yang berkeliaran di kalangan Gentoo penguin. Kami juga terserempak dengan beberapa ekor Weddel Seal yang sedang berehat di tepi pantai.

P1400960

P1400975 P1400953 DSC_0894

Setelah seketika menikmati dan mengagumi alam dan fauna ciptaan Ilahi, kami memulakan tugas utama kami dalam mendapatkan sampel. Antara kami ada yang mendapatkan sampel batu, tanah, air dan juga hidupan yang tinggal di dasar laut. Persampelan kami berjalan lancar, dan kami beruntung kerana sepanjang menjalankan kajian, kami ditemani oleh kumpulan Gentoo penguin.DSC_0895

Setelah lebih kurang 2 jam kerja persampelan di pantai, kami mula bergerak balik ke Australis. Sebahagian daripada kami iaitu Dr Emi, Hilal dan Aniqah meneruskan kerja persampelan di atas bot sementara menunggu bot bergerak ke hentian seterusnya iaitu Deception Island.

DSC_0966 DSC_0965

Kami menikmati hidangan tengah hari iaitu Nasi Goreng Udang yang disediakan oleh Anna lebih kurang jam 12 tgh. Sekarang jam 1 petang, kapten Magnus mengumumkan Australis akan menyambung pelayaran ke Deception Island.

Rata-rata semua peserta ekspedisi gembira kerana dapat menyimpang kerja dalam keadaan cuaca yg sangat baik. Namun, kami agak terkilan kerana hari ini ada hari pertama kami dalam Australis tanpa kehadiran Dr Huzaimy yang terpaksa tinggal di stesen King Sejong bagi menjalankan eksperimen beliau. Memang terasa agak sayu kerana kami tidak cukup seorang ahli yang bagi kami semua sudah dianggap seperti adik-beradik walaupun hanya kira-kira seminggu berkelana bersama. Kami juga agak sedih bagi pihak Dr Huzaimy kerana beliau tidak berpeluang untuk datang ke stesen-stesen lain yang akan kami singgah selepas ini. Apa-apa pun kami percaya Dr Huzaimy akan selesa tinggal di King Sejong yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, dan apa yang paling penting beliau dapat menjalankan eksperimen beliau.

Sekarang Australis mula bergerak untuk ke Deception Island. Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan. InsyaAllah

-Dr  Mohd Rauhan Wan Hussin-