Cabaran Pelayaran Pulang ke Ushuaia

2 Feb 2016.

Kami masih di stesen King Sejong, Antartika. Ada beberapa kerja analisa akhir yang perlu disiapkan sebelum kami bertolak pulang ke Ushuaia. Mengikut jadual, kami akan berada di sini sehingga 5 Feb. Kira kira jam 1 petang, kami dihubungi oleh kapten Mag melalui amatur radio, ada perubahan perancangan. Beliau mencadangkan agar kami bertolak pulang hari ini juga kerana mengikut ramalan cuaca, ribut kuat akan melanda pada 5-8 Feb.

12657281_1064812206903296_8041739094705483856_o

Angin kencang dijangka akan bertiup melalui arah Utara dan akan lebih menyukarkan pelayaran. Agak mustahil untuk kapal Australis yang sepanjang 24 meter untuk menghadapi keadaan ini. Jika kami tidak bertolak pada hari ini atau selewat-lewatnya esok, kami mungkin akan terperangkap di Antartika ini sehingga 10-12 Feb kerana ribut mungkin berpanjangan. Akibatnya, kami terpaksa membeli tiket kapal terbang yang baru untuk ke Malaysia.

Kami berbincang seketika untuk melihat keperluan ahli ekspedisi samaada mereka perlu lebih masa untuk menjalankan analisa akhir ataupun bersetuju untuk bertolak pulang hari ini. Hasilnya, semua bersetuju untuk bertolak secepat mungkin kerana kebanyakan kami sudah hampir siap proses analisa akhir. Dr Emie dan Hilal masih belum siap sepenuhnya namun ianya boleh dibuat di atas kapal setelah tiba di Ushuaia nanti.

Saya menghubungi kapten Mag dan menyatakan persetujuan kami untuk bertolak pada jam 6 petang. Kami mula bersiap, mengemaskan peralatan dan pakaian. Kami berjumpa dengan ketua stesen Dr Choi untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kerana layanan mesra yang diberikan sepanjang kami berada di sini.

12698510_1064812260236624_8247467203700445231_o

 (Berlatar belakangkan Stesen King Sejong sebelum berangkat pulang)

Pada jam 6:30 petang, setelah semua berada di atas kapal Australis, kami memulakan pelayaran. Kami dimaklumkan yang pelayaran pulang melalui Drake Passage kali ini agak mencabar kerana angin sudah mula bertiup agak kencang. Kami mula menyiapkan diri, mengambil makan malam awal, menyediakan bekalan air minum dan makanan ringkas di sisi sekiranya kami tidak dapat bangun untuk mendapatkan makanan di dapur kapal sepanjang pelayaran. Pengalaman melalui Drake Passage sebelum ini membuatkan kami lebih bersedia. Sememangnya setiap pelayar yang melalui Drake Passage akan mengharapkan laut yang tenang, dikenali Drake Lake namun kebiasaannya laluan laut ini akan bergelora, dikenali Drake Shake.

12711120_1064812493569934_8858662987877066798_o

Setelah 30 min belayar, kami mula merasakan goncangan yang kuat. Perut saya mula terasa memulas, tekak terasa mual, suhu badan sedikit meningkat dan mula berpeluh sedikit. Saya tahu ini adalah simpton mabuk laut. Cepat-cepat saya menelan ubat, dan membaringkan diri. Saya terpaksa baring di tempat rehat utama kerana tilam saya di bilik agak lembab ekoran wap air di dinding kapal yang terkena tilam saya. Saya tahu agak berisiko untuk saya baring di sini kerana apa sahaja peralatan seperti gelas, mangkuk atau buku boleh sahaja mengenai saya apabila kapal digoncang ombak kuat. Saya bertawakal dan mengambil ubat mabuk laut. Semua yang lain turut mula masuk ke bilik masing masing untuk tidur. Tidur adalah perkara terbaik boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan mabuk laut.

Sepanjang 3 hari melalui Drake Passage, kapal kami dilambung ombak kuat, melambung ke depan dan kebelakang, ke kiri dan ke kanan. Saya berbaring dengan hanya memegang tepi dinding, tidak mampu untuk berbuat apa apa hatta duduk menyandar. Solat juga hanya mampu dilakukan dalam keadaan berbaring. Keadaanya seperti rumah kita dilanda gempa bumi berskala 7 skala Richter selama 3 hari.

Semasa di Jepun, saya pernah melawat pusat bencana alam di Fukuoka. Kami diberi pendedahan mengenai langkah keselamatan untuk menyelamatkan diri dan berpeluang merasai sendiri simulasi bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir dan kebakaran. Keadaan sekarang mengingatkan saya semasa mengikuti simulasi goncangan gempa bumi berskala 7 skala Richter selama kira kira 10-15 saat tersebut. Ya Allah..kami hanya berserah padaMu ya Allah.

Di pertengahan hari ke-3, kami sudah boleh bangun dan mengisi perut namun masih tidak boleh bergerak banyak kerana ombak masih kuat. Kami dimaklumkan oleh kapten Mag yang kami menghadapi Drake Shake semasa pelayaran balik dan lebih kuat jika dibandingkan semasa pelayaran kami ke Antartika. Mengikut jangkaan, kapal akan melepasi Drake Passage dan mula memasuki terusan dalam masa beberapa jam lagi.

Alhamdulillah. Setelah memasuki terusan, keadaan laut mula tenang. Kami dapat melihat daratan di kiri dan kanan kapal setelah 3 hari dikelilingi lautan tidak bertepian. 12 jam kemudian, kapal Australis mula memperlahankan kelajuan menandakan kami akan tiba di pelabuhan Ushuaia.

12710712_1064812566903260_9198848428813939688_o

(Pemandangan matahari terbit di Pelabuhan Ushuaia setelah tiba dari Antartik)

12694924_1064812423569941_4738899709616432026_o

(Barbeque di atas kapal)

Syukur Alhamdulillah..kira kira jam 12 tengah malam, sauh dilabuhkan. Syukur Alhamdulillah. Kami berjaya melepasinya dan mengukir sejarah sebagai ekspedisi pertama rakyat Malaysia ke Antartik menggunakan kapal layar sepenuhnya di bawah kelolaan Malaysia Antartik Research Program (MARP). Allahuakbar..

12657446_1064812456903271_8359657085200258608_o

(Peta sepanjang pelayaran pergi dan balik dari Antartika)

12698153_1064812626903254_7944046731364985582_o

(Ben melakukan pemeriksaan rawak ke atas sampel yang dibawa balik dari Antartik berdasarkan permit yang diperolehi)

12698432_1064812363569947_1219198729661631402_o

(Di hotel setelah check out dari kapal Australis)

12710851_1064812680236582_5125196523234807377_o

(Alhamdulillah berjaya mendarat semula ke Ushuaia. Takbir!)

Stesen Terakhir Persampelan

Australis bergerak dari Enterprise Island lebih kurang jam 3 pagi semalam (31 Jan).

DSC_0818 DSC_0912 DSC_0931

(Aktiviti di Enterprise Island)

Pada jam 10 pagi, kami tiba di stesen terakhir persampelan iaitu Trinity Island. Memandangkan bot bergerak awal pagi dan keadaan laut yang bergelora, kami semua hanya berada di katil masing-masing dan paksa diri untuk tidur sepanjang perjalanan bagi mengelakkan dari mabuk. Setelah bot tiba di stesen, barulah kami bersarapan.

Pada jam 11 pagi, Zodiac telah bersedia untuk membawa kami ke pantai.

DSC_0025 DSC_0011Stesen ini sangat menarik kerana terdapat satu pondok usang yang bumbungnya dicat dengan bendera Argentina. Menurut Magnus, pondok ini merupakan tempat hentian kecemasan untuk kegunaan awam. Namun, beliau sendiri, atau pun mana-mana kru Australis tidak pernah masuk ke pondok tersebut.

DSC_0027 P1410339

Stesen ini juga terdapat satu koloni Gentoo Penguin yang ramai. Dari atas bot lagi kami sudah menghidu bau najis haiwan ini dek kerana angin yang bertiup dari daratan terus ke bot.

DSC_0031

Kami menjalankan persampelan seperti biasa dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk menyiapkannya.

DSC_0008 DSC_0005 DSC_0003

Selepas itu, bila balik semula ke Australis, kebanyakan kami mandi kerana telah ditimpa hujan semasa persampelan. Selepas setengah jam, kru menjemput kami semua untuk makan tengah hari.

Kira-kira jam 3 petang, Australis menyambung pelayaran. Kami semua menyambung kerja masing-masing dan ada juga yang berehat sambil berborak-borak dengan kru Australis. Sekarang kami dah mula rasa agak sedih sebab hari-hari kami di Australis sudah menghampiri penghujungnya. Selepas lebih sejam, masing-masing sudah merasa mabuk memandangkan gelora yang agak kuat. Kami semua sekali lagi memaksa diri untuk tidur.

Pada jam 10:30 malam, Australis berhenti berlabuh di Whaling Bay, Deception Island. Menurut Ben, pantai ini merupakan kawasan penangkapan ikan paus. Industri penangkapan mamalia ini berjalan rancak sekitar tahun 1930-an dan berakhir 15 tahun selepas itu bila semua paus telah pupus.

Kami menikmati makan malam yang agak lewat. Setelah kenyang, kami bercerita kembali detik-detik awal perjalanan kami ke sini, dan juga perancangan kami selepas ini.

Kami diberitahu Australis akan menyambung pelayaran pada jam 6 pagi ini dan dijangka tiba di stesen King Sejong setelah 8 jam pelayaran.

Memandangkan telah tidur lama, kami semua berjaga lewat malam sambil menunggu masuk waktu subuh pada jam 2:30 pagi.

Di saat ini, suasana agak sunyi. Semua kru kapal telah tidur. Hanya suara kami yang kedengaran. Sekali sekala kedengaran bunyi ais melanggar badan Australis yang memecah kesunyian dinihari.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-

EkSMA Hari ke-18

Kami mula bersarapan jam 8 pagi. Semakin hari semakin ramai yang makan Nasi Brahim’s atau mee Maggi. Nampaknya kami semua sudah muak dengan roti dan ‘cereal’ yang disediakan.

Pada jam 9 pagi, Zodiac mula diturunkan untuk membawa saintis yang perlu ke pantai Paradise Bay, Davis Coast.

DSC_0806

Dr Goh dan Dr Foong dibawa oleh Bob ke pantai untuk mengutip moss dan juga batu. Kemudian Bob kembali dan mengambil Dr Emi, Hilal dan Aniqah dan menghantar mereka ke pantai bagi mengutip sampel alga dan sedimen.

DSC_0764 DSC_0762

Selepas itu, Dr Shahrul juga ke pantai bagi menjalankan pengukuran isoprena dalam udara. Sementara itu, Ben membantu Dr Rauhan mengutip sampel invertebrata dari Australis. Memandangkan sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan sampel invertebrata di pantai, Ben telah mereka bentuk alat yang bertundak seperti ‘dredge’ untuk mengutip organisma tersebut dari kawasan yang lebih dalam iaitu di tengah air. Hasilnya sangat efektif. Bagi meningkatkan keberkesanan kaedah yang baru ini, Ben mencadangkan ianya dibuat secara menunda dari atas Zodiac. Dengan kaedah baharu ini, pelbagai spesies invertebrata berjaya dikutip dan disimpan untuk proses seterusnya di stesen King Sejong.

DSC_0774 DSC_0783

DSC_0804

Setelah lebih dua jam menjalankan persampelan, kami semua kembali ke Zodiac. Sesampai di sini, kami semua yang kesejukan sangat teruja melihat pinggan, pisau dan garfu telah tersusun di atas meja makan. Lebih kurang jam 12 tgh hari, kami bersama-sama kru menikmati hidangan pizza yang disediakan oleh Anna. Walaupun pizza vegetarian, namun ternyata ia lebih sedap berbanding yang terdapat di Pizza Hut. Setelah menjamu selera, kami semua menyambung kerja masing-masing dan ada juga selepas itu yang mengambil peluang untuk menonton filem. Pada jam 1:30 petang, kapten Magnus menyambung pelayaran ke stesen seterusnya. Beliau menasihati kami semua untuk bersedia dengan keadaan ombak yang dijangka agak besar. Mendengar peringatan tersebut, ada di kalangan kami yang ‘memaksa’ diri untuk tidur bagi mengelakkan daripada mabuk laut.

Jam 7:00 malam kami tiba di stesen berikutnya iaitu Enterprise Island, juga di Davis Coast. Sesampai di sini, kami terus bersiap dan bergerak untuk menjalankan kerja seperti di stesen sebelumnya. Stesen ini agak menarik kerana terdapat beberapa kapal karam lama yang kelihatan. Ada satu kapal besar iaitu ‘whaling ship’ sangat menarik perhatian kami. Kapal ini sudah berpuluh tahun terdampar di sini. Atas faktor keselamatan, Ben tidak mencadangkan kami untuk naik ke atas kapal lama ini. Selain itu, dapat dilihat 2 buah perahu layar kayu yang sangat usang dan hampir hancur juga terdampar di sini. Terdapat juga satu kubur dengan lambang salib yang kelihatan di atas bukit berhampiran kapal ‘whaling ship’ tadi.

Setelah lebih kurang 2 jam menjalankan kerja, kami semua kembali ke Australis. Sekali lagi, kepulangan kami ke Australis disambut dengan hidangan yang telah tersedia untuk dinikmati. Makan malam kali ini agak istimewa kerana ia disediakan oleh Kapten Mag sendiri iaitu Nasi dengan kari hijau udang dan ikan Cod. Kami sangat berterima kasih dengan kru Australis kerana mereka amat memahami kami. Selain daripada menyediakan daging halal, mereka juga selalu masak nasi untuk kami sama ada pada tengah hari atau malam demi menyesuaikan dengan selera orang Malaysia. Selepas kenyang makan nasi, kami menikmati pula pusing tiramisu yang disediakan oleh Anna.

Setalah makan malam, kami bersembang-sembang dan bercerita tentang apa yang dijalankan pada hari ini. Juga berbincang tentang perancangan hari esok, yang merupakan stesen terakhir kami. Selepas itu, seperti biasa Dr Emi dan Hilal naik semula ke dek untuk menyambung semula kerja mereka untuk proses persampelan air. Pada jam 12 tgh malam, masing-masing mula kepenatan dan masuk tidur. Ketika ini, Hilal masih menjalankan kerja beliau. Oleh kerana semakin kesejukan, Ben mambantu beliau membawa peralatan untuk menjalankan kerja di dalam kabin. Hilal memaklumkan beliau memerlukan lebih kurang 2 jam lagi untuk menyiapkan kerja penapisan air ini.

Selamat malam.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-

EkSMA Hari ke-17

Kapten Mag mula menghidupkan generator bot pada jam 7:30 pagi dan kami mula menyiapkan sarapan pagi. Menunya sudah tentu roti bakar dan keju atau dengan lepa kacang.

Pada jam 9 pagi, Australis menaikkan sauh dan mula belayar ke stesen seterusnya. Cuaca pada hari ini agak mendung, namun pelayaran agak selesa kerana gelora lautan tidak begitu kuat.

Lebih kurang jam 10:15 pagi, kami tiba di stesen yang dituju iaitu Danco Coast. Dalam masa 15 minit, kami semua siap sedia untuk menaiki Zodiac dan bergerak ke pantai. Cuaca masih kurang baik dengan hujan membasahi kami semua. Suhu juga agak sejuk berbanding semalam di Darboux Island.DSC_0306 DSC_0309 DSC_0311

(Aktiviti di Pulau Darboux)

Dalam keadaan cuaca ini, Bob yang memandu Zodiac cuba mencari tempat paling sesuai untuk mendarat. Pantai Danco adalah jenis berbatu dan ini menyukarkan untuk Zodiac berhenti. Setelah meninjau beberapa minit, kami menjumpai kawasan sesuai untuk mendarat.

Setelah naik ke darat, kami terpaksa memanjat bukit untuk merentasi ke sebelah lain pantai ini. Menurut Ben, di sana mungkin ada kawasan pantai berpasir yang sesuai untuk kami menjalankan persampelan.

DSC_0581

Setelah 30 minit, kami akhirnya menjumpai kawasan untuk menjalankan persampelan. Walaupun agak kepenatan merentasi litupan salji yang dalam, ianya sangat berbaloi lebih-lebih lagi di sini kami dapat menyaksikan keindahan bukit di Sekeliling kami yang dilitupi salji. Sekali sekala kami dapat rasakan seperti berada di alam fantasi. Kehadiran dan pendakian kami juga ditemani oleh berpuluh-puluh kawanan Gentoo penguin dan juga beberapa ekor burung Skua dan Shag.

DSC_0606

Kami juga sangat berterima kasih kepada Ben yang menunjuk jalan kepada kami untuk menjejakkan kaki ke pantai walaupun keadaan sangat bahaya dengan cerunam ais yang mungkin boleh runtuh bila-bila masa sahaja.

DSC_0407 DSC_0392 DSC_0412 DSC_0365

Ben juga membantu Dr Rauhan, Hilal dan Aniqah untuk mendapatkan sampel sedimen di dalam air.

Setelah lebih kurang 1.5 jam di kawasan tersebut, dan selesai semua kerja persampelan. Kami mula berjalan menuruni bukit untuk ke pantai di sebelah satu lagi di mana kami mendarat. Kelihatan dari jauh Bob sedang menunggu kami di dalam Zodiac. Sekali lagi kami mengerah keringat untuk merentasi litupan salji yang dalam untuk sampai ke tepi pantai. Sekali sekala kaki kami tenggelam hingga ke paras paha bila menuruni bukit tersebut. Pada waktu itu, kami hanya berfikir untuk cepat-cepat masuk ke dalam Australis kerana kaki kami semua sudah kebasahan dek kerana salji sudah memasuki kasut but yang kami pakai. Terlalu sejuk sehinggakan rasa seperti terdapat api di kaki kami.

Pada jam 12:30 tengah hari. Kami menjejakkan kaki ke atas dek Australis. Masing-masing menarik nafas lega dan bergegas ke dalam kabin bot untuk menghangatkan badan.

Pada jam 1 ptg, kami semua menjamu hidangan tengah hari iaitu, telur Omelette dengan salad kentang dan sayur. Kemudian kami menikmati kek buah yang dibeli dari Ushuaia sebagai pencuci mulut.

Jam 3:30 petang Australia menaikkan sauh dan belayar ke stesen seterusnya iaitu Davis Coast. Mag memaklumkan kami dijangka tiba pada jam 9 malam. Australis akan melabuhkan sauh di situ, dan kami akan menyambung kerja persampelan esok pagi.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-

EkSMA Hari ke-16

Jam 7 pagi, kami mula menikmati sarapan pagi. Kebanyakan kami hanya makan roti dengan jem atau Nutella atau dengan keju. Namun ada yang mula mengeluarkan bekal nasi Brahim’s yang dibawa dari Malaysia lantaran muak makan roti setiap pagi.

Keadaan laut pagi ini sangat tenang. Kami dapat menjalankan kerja dengan selesa. Sekali sekala Australis terpaksa memperlahankan kelajuan di sebabkan terlalu banyak ais terapung yang terdapat di laluan.

Kira-kira jam 11 pagi, Australis berhenti di sekitar Graham Coast. Ben memaklumkan kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke selatan lagi di sebabkan terlalu banyak ais dan mustahil untuk Australis merentasinya. Setelah berbincang, kami semua setuju untuk berpatah balik ke arah utara dan berebut di pantai terdekat. Namun, sebelum bergerak, Australis berhenti seketika bagi memberi peluang kepada peserta mengambil sampel air dan menjalankan analisis ringkas di atas dek kapal. Jam 2:15 petang Australia mula bergerak.DSC_0289 DSC_0110 DSC_0100

45 minit selepas itu, Australis tiba di Darboux Island (masih dalam kawasan Graham Loubet). Kami semua menaiki Zodiac untuk ke pantai. Persekitaran pulau ini agak berbeza berbanding pulau-pulau yang kami singgah sebelum ini. Pantainya berbatu, dan sangat hampir dengan kaki bukit. Keadaan di pantai Darboux ini juga sangat sunyi. Tiada penguin kelihatan. Hanya bunyi suara burung Snow Petrel yang memecah kesunyian seolah-olah menyambut kedatangan kami bila menghampiri pantai. Cuaca juga sangat baik. Cerah dan tidak berangin.

DSC_0033

Kawasan pantai ini juga kaya dengan sumber biologi yang dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Di kawasan pantai berbatu, dapat dilihat lapisan alga (diatom) yang tebal. Hidupan dasar seperti Amphipoda dan Limpet juga banyak kelihatan. Di kawasan daratan dan kawasan bukit, Mosses juga jelas kelihatan.

Kami mengambil masa kira-kira 2 jam untuk menjalankan persampelan. Setelah itu, kami kembali ke Australis dan rata-rata mula menikmati nasi Brahim’s bagi mengalas perut sementara menunggu hidangan makan malam.

Kemudian Australis meneruskan pelayaran dan tiba berhampiran stesen milik Ukraine (Verdardski) untuk melabuhkan sauh pada jam 8:30 malam. Kru Australis mengambil masa yang agak lama untuk melabuhkan sauh disebabkan keadaan laut yang dipenuhi ais terapung.

Pada jam 9:15 malam kami mula menikmati makan malam secara bersama dengan kru. Hidangan kali ini adalah Cauliflower & Prawn Gratin dengan nasi kuning. Lebih kurang jam 11 malam, kami semua mula masuk kabin untuk tidur.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-

EkSMA Hari ke-15

Dari Greenwich Island semalam, kami tiba di Deception Island pada jam 6:30 petang (Selasa 26 Jan) iaitu kira-kira selepas 6 jam pelayaran. Pada jam 7 malam kami mula menaiki Zodiac dan ke pantai pulau ini untuk menjalankan persampelan.

Pertama kali menjejakkan kaki di Deception Island kami dapat rasakan kesunyian dan ketenangan. Cuaca pada waktu tersebut sangat sejuk dengan salji yang mula turun dan keadaan agak berangin. Kami dapat rasakan seolah-olah seperti dalam filem Narnia. Tidak seperti di Greenwich Island, kehadiran kami di sini tidak disambut oleh penguin. Pulau ini seolah-olah tidak berpenghuni. Hanya terdapat beberapa ekor burung Skua yang sekali sekala singgah di pantai.

DSC_0017 DSC_1028 DSC_1029 P1410021DSC_1054 DSC_1055 DSC_1058

Kali ini, kami hanya menjalankan persampelan. Kami tidak mengambil masa yang panjang untuk melihat keadaan Sekeliling di sebabkan cuaca yang sangat sejuk dan berangin. Tambahan pula waktu sudah semakin lewat dan menghapiri malam. Selepas kira-kira 1 jam di pantai. Kami mula menaiki Zodiac untuk kembali ke Australis. Semasa Zodiac muka bergerak, barulah kami dapat melihat beberapa ekor Chinstrap penguin yang berada di Deception Island.

Sesampai di Australis, kami terus masuk ke kabin untuk mengurangkan kesejukan yang dirasai. Selang setengah jam selepas itu, kami mula menjamu selera, hidangan telah siap disediakan oleh Anna. Kami menikmati nasi putih dengan kari daging. Walaupun masakannya tidak setanding dengan di Malaysia, namun kami tetap berselera makan.

Setelah menikmati makan malam, kami berbincang ringkas tentang apa yang telah dijalankan dan jadual perancangan untuk hari esok. Hampir jam 11 malam, kami semua mula masuk tidur.

Australis melabuhkan sauh di Deception Island semalam. Jadi kami semua dapat tidur dengan nyenyak tanpa gangguan olengan bot yang kuat.

Keesokan pagi, kami menikmati sarapan pagi seperti biasa, iaitu roti bakar.

Jam 7 pagi Australis mula bergerak. Jika semalam kami berhenti di bahagian luar Deception Island, kali ini kami menuju pula ke bahagian dalam pulau ini. Selepas 15 minit belayar, Australis tiba dan berhenti. Kami dimaklumkan tempat kami berhenti ketika ini adalah di atas gunung berapi, yang dikhabarkan masih aktif.

Pada jam 8 pagi, kami semua sekali lagi menaiki Zodiac untuk ke pantai dan menjalankan persampelan. Berbeza dengan keadaan semalam, cuaca di Deception Island pada pagi ini sangat baik dengan sinaran mentari dan angin yang perlahan. Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk mengambil sampel. Selepas itu, kami mengambil peluang untuk menaiki bukit dan menikmati panorama yang sungguh indah. Tiada kata yang dapat diungkapkan bilamana meyaksikan keindahan alam ciptaan Ilahi. Kami juga merasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk sampai di pulau ini.

Kira-kira jam 10 pagi kami kembali semula ke Australis. Selepas 30 minit, kapten Mag mula menggerakkan Australis. Kami dimaklumkan oleh Ben yang Australis akan menuju ke stesen yang paling jauh ke selatan yang boleh sampai dengan masa yang ada. Menurut beliau, mungkin kami akan berhenti di stesen Graham Loubet. Kami dimaklumkan perjalanan akan mengambil masa 1 hari setengah.

Kami harap keadaan laut tidak terlalu bergelora bagi membolehkan kami belayar dengan selesa.

-Dr Mohd Rauhan Wan Hussin-

EkSMA Hari Ke-14

Hari ini, jam 6 pagi kami tiba Greenwich Island, iaitu stesen kedua persampelan kami. Pada jam 7 pagi semua ahli ekspedisi mula bersiap dan menikmati sarapan. Pada jam 8 pagi kami mengadakan sedikit perbincangan ringkas bersama Ben untuk menyusun pergerakan ke pantai bagi aktiviti persampelan. Pada jam 8:30 pagi, kami mula menaiki Zodiac (bot getah) untuk ke pantai. Cuaca pada hari ini sangat baik. Tidak berangin. Namun agak sejuk berbanding semalam semasa di stesen King Sejong (walau pun semalam sangat berangin).

DSC_0011DSC_0025

(Zodiac atau bot getah yang kami naiki)

Apabila menjejakkan kaki ke pantai Yankee Harbour, Greenwich Island, kami semua kagum dengan keindahan alam ciptaan Ilahi. Sekeliling kami adalah salji yang memutih di atas permukaan pantai, dan juga di atas bukit. Kedatangan kami disambut oleh beratus-ratus penguin (Gentoo penguin). Terdapat juga 2 atau 3 ekor Chinstrap penguin yang berkeliaran di kalangan Gentoo penguin. Kami juga terserempak dengan beberapa ekor Weddel Seal yang sedang berehat di tepi pantai.

P1400960

P1400975 P1400953 DSC_0894

Setelah seketika menikmati dan mengagumi alam dan fauna ciptaan Ilahi, kami memulakan tugas utama kami dalam mendapatkan sampel. Antara kami ada yang mendapatkan sampel batu, tanah, air dan juga hidupan yang tinggal di dasar laut. Persampelan kami berjalan lancar, dan kami beruntung kerana sepanjang menjalankan kajian, kami ditemani oleh kumpulan Gentoo penguin.DSC_0895

Setelah lebih kurang 2 jam kerja persampelan di pantai, kami mula bergerak balik ke Australis. Sebahagian daripada kami iaitu Dr Emi, Hilal dan Aniqah meneruskan kerja persampelan di atas bot sementara menunggu bot bergerak ke hentian seterusnya iaitu Deception Island.

DSC_0966 DSC_0965

Kami menikmati hidangan tengah hari iaitu Nasi Goreng Udang yang disediakan oleh Anna lebih kurang jam 12 tgh. Sekarang jam 1 petang, kapten Magnus mengumumkan Australis akan menyambung pelayaran ke Deception Island.

Rata-rata semua peserta ekspedisi gembira kerana dapat menyimpang kerja dalam keadaan cuaca yg sangat baik. Namun, kami agak terkilan kerana hari ini ada hari pertama kami dalam Australis tanpa kehadiran Dr Huzaimy yang terpaksa tinggal di stesen King Sejong bagi menjalankan eksperimen beliau. Memang terasa agak sayu kerana kami tidak cukup seorang ahli yang bagi kami semua sudah dianggap seperti adik-beradik walaupun hanya kira-kira seminggu berkelana bersama. Kami juga agak sedih bagi pihak Dr Huzaimy kerana beliau tidak berpeluang untuk datang ke stesen-stesen lain yang akan kami singgah selepas ini. Apa-apa pun kami percaya Dr Huzaimy akan selesa tinggal di King Sejong yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, dan apa yang paling penting beliau dapat menjalankan eksperimen beliau.

Sekarang Australis mula bergerak untuk ke Deception Island. Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan. InsyaAllah

-Dr  Mohd Rauhan Wan Hussin-

Page 1 of 6

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén